Legenda Badminton Eddy Choong Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR — Legenda badminton negara yang pernah menjuarai perseorangan All-England sebanyak empat kali, Datuk Eddy Choong, meninggal dunia akibat sakit tua di Pulau Pinang Isnin.

Choong, 83, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Pakar Loh Guan Lye, Pulau Pinang kira-kira pukul 3 petang selepas dimasukkan ke pusat perubatan swasta berkenaan sejak seminggu lepas.

Kematian Choong disahkan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh yang dimaklumkan mengenainya oleh ahli keluarga mendiang.

“Saya terkejut mendengar berita ini dan ia satu kehilangan besar buat BAM dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain menjadi juara empat kali acara perseorangan lelaki Kejohanan All-England edisi 1953, 1954, 1956 dan 1957 mendiang juga adalah ahli pasukan Piala Thomas Malaya pada 1955 yang berjaya mempertahankan gelaran berpasukan dunia itu.

Pada 1958 pasukan itu tumpas kepada Indonesia.

– BERNAMA

Artikel disiar pada 28/01/2013 - 9:00 pm oleh EDITOR


    Leave a Reply


HAK CIPTA © 2012-2013 SUARA GENERASI BARU
Emel : suaragenerasibaru@gmail.com
Gunakan Mozilla Firefox dengan resolusi 1024 X 768 untuk paparan terbaik