Sokongan Padu Rakyat Perlu Untuk Teruskan Projek Berimpak Tinggi – Muhyiddin

    KUCHING  — Sokongan padu rakyat adalah amat perlu bagi membolehkan kerajaan sekarang meneruskan usaha melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang memberi manfaat besar kepada mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, projek-projek berimpak tinggi ini telah dijalankan sejak tiga tahun lepas melalui pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi yang mengutamakan peningkatan pendapatan rakyat.

    Biarpun Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya mencapai pembangunan lebih tinggi, apa yang lebih penting adalah impak positifnya kepada rakyat, katanya semasa berucap merasmikan kompleks Medan Niaga Satok yang bernilai RM46.6 juta di sini hari ini.

    “Tidak ada maknanya sebuah negeri atau negara itu maju tetapi rakyatnya miskin. Kerajaan mempunyai wang yang banyak tetapi rakyat tidak mempunyai apa-apa,” katanya.

    Menurutnya, projek Medan Niaga Satok ini juga merupakan salah sebuah projek yang berjaya menjana impak yang positif dalam membantu rakyat, khususnya golongan petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.

    Melalui kerjasama erat kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan, Muhyiddin berkata projek Medan Niaga Satok berjaya disiapkan dengan menyediakan ruang untuk lebih 2,000 peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka.

    Selain itu, perancangan untuk menggabungkan industri berasaskan pertanian dengan industri pelancongan di medan niaga ini akan turut memberikan nilai tambah kepada usaha ini, katanya.

    “Sebuah projek sebegini tentulah mempunyai kesan berganda, dalam bentuk jumlah bisnes dan perniagaan yang boleh dijana,” katanya.

    Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM13.5 juta lagi bagi menambah lagi kemudahan-kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung di medan niaga ini.

    Menurut Muhyiddin, kejayaan melaksanakan projek ini menjadi satu lagi bukti keupayaan kerajaan Barisan Nasional untuk menunaikan janjinya untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup.

    Muhyiddin berkata ketidakupayaan kerajaan-kerajaan negeri di bawah pakatan parti pembangkang untuk menunaikan janji mereka semasa pilihan raya lepas telah menyebabkan rakyat negeri-negeri berkenaan bangkit untuk menuntut janji yang tidak tertunai itu di mahkamah.

    “Mahkamah sanggup nak mendengar (kes yang dibawa rakyat terhadap kerajaan-kerajaan negeri) kerana ada asas-asas yang kukuh bila sesebuah kerajaan berjanji untuk melaksanakan sesuatu (tetapi) tidak ditunaikan, bermakna dia (kerajaan berkenaan) sudah lupa janji. Dia (kerajaan itu) tidak amanah,” katanya.

    Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional sejak beberapa tahun ini telah mengambil inisiatif yang agak luar biasa dalam soal membela nasib rakyat, katanya.

    Menurutnya, isu-isu yang dibangkitkan di peringkat akar umbi tidak lagi dianggap remeh atau kecil tetapi diterima sebagai masalah rakyat yang tidak boleh diketepikan dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan.

    “Rakyat tahu masalah mereka dan mereka mengharapkan kerajaan boleh membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

    — BERNAMA

    Artikel disiar pada 28/01/2013 - 9:00 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI