Nasharudin Tidak Tahu Digugur Daripada Majlis Syura

Editor: EDITOR | Diterbitkan pada: 28 January 2013
Kategori: POLITIK | Add Comment »



KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya daripada Majlis Syura sebaliknya hanya mengetahui berhubung perkara itu melalui media.

“Sehingga di saat ini saya masih belum menerima sebarang surat menyatakan perlucutan jawatan terbabit.

“Saya hanya tahu mengenai pemecatan tersebut melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti,” katanya menerusi satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Nasharuddin, yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, jawatan dalam Majlis Syura Ulama itu adalah lantikan parti dan parti berhak untuk memecatnya.

“Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan dan saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam,” katanya.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan pemecatan Nasharuddin sebagai Ahli Majlis Syura PAS berikutan tindak-tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu.

Terbaru, beliau menyertai lawatan kemanusiaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Gaza, Palestin pada 22 Januari lalu.

Pada Ogos tahun lalu, Nasharudin menemani Perdana Menteri bertemu ulama Arab Saudi di Makkah sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

— BERNAMA

Leave a Reply