Timbalan Perdana Menteri Adakan Lawatan Kerja Ke Sarawak

    Taklimat tertutup di Ibu Pejabat PBB Di Jalan Bako, Kuching. – Gambar dari utusan.com

    KUCHING — Siri lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama tiga hari ke Sarawak telah bermula semalam dan beliau telah menghadiri satu taklimat tertutup untuk persiapan PRU13 dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, Kuching di sini.

    Perjumpaan tersebut yang juga telah disertai Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Pengerusi BN dan Presiden PBB, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ak. Ikom dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing.

    BN Sarawak kini mempunyai 29 kerusi, termasuk PBB 14, SUPP 5, SPDP 4 dan PRS 6 kerusi manakala parti pembangkang DAP menguasai 2 kerusi iaitu Bandar Kuching dan Sibu.

    Hari kedua dalam siri lawatan TPM ke Sarawak, beliau telah melawat ahli keluarga mendiang pahlawan negara Datuk Temenggong Kanang Langkau di Kampung Sungai Apong Baru di sini sebelum menghadiri majlis santai bersama penduduk Kampung Sungai Apong Baru di Dewan Masyarakat kampung berkenaan.

    Beliau telah menyalurkan bantuan sebanyak RM500, 000 bagi membina semula Dewan Masyarakat tersebut dan rata-rata penduduk berasa amat berpuas hati dan bangga kerana kunjungan beliau sebagai salah seorang daripada  pucuk pimpinan utama negara ke kampung mereka yang julung kalinya diadakan.

    Ketibaan TPM di Medan Niaga Satok menggunakkan Sarawak River Taxi.

    Beliau kemudiannya dijadual merasmikan Medan Niaga  Satok di Jalan Matang, Petra Jaya, sebuah projek kerajaan persekutuan bernilai RM46.6 juta yang kini dibawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

    Beliau juga akan menghadiri sesi perjumpaan bersama penjawat awam negeri dan persekutuan di sebuah hotel di sini sebelum menghadiri majlis himpunan dan santai bersama belia di Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC) yang dijadualkan pada jam 4 petang ini.

    Pada sebelah malamnya pula TPM yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BN, akan menghadirkan diri di Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Bau.

    Pada Selasa, beliau akan melakukan tinjauan mesra dan bersarapan pagi dengan usahawan dan pemimpin komuniti perniagaan Cina di RH Plaza, Jalan Stutong, Kuching sebelum berangkat ke Sibu untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah, Sarikei.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran, akan menghadiri majlis perhimpunan Guru Muda 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart di Sibu, iaitu majlis terakhir yang dijadualkan sebelum pulang ke Kuala Lumpur di sebelah petangnya.

    Artikel disiar pada 28/01/2013 - 3:41 pm oleh Seri Dewi Kenyalang

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI