RM65 Juta Pulih 118 Projek Perumahan Swasta Terbengkalai Sejak 2009, Kata Chor

    GEORGE TOWN — Kerajaan memperuntukkan RM65 juta untuk menyiapkan 118 projek perumahan swasta terbengkalai di seluruh negara sejak 2009 hingga 31 Dis lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

    Beliau berkata sebanyak 178 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan 53,058 unit rumah direkodkan di seluruh negara bagi tempoh itu dengan 118 daripadanya telah berjaya disiapkan.

    Sebanyak 51 lagi projek sedang dalam pelbagai peringkat pemulihan dan sembilan projek masih di peringkat perancangan untuk dipulihkan, katanya.

    “Kerajaan persekutuan memang memahami perasaan pembeli-pembeli rumah di projek terbengkalai. Sejak tahun 2009 insiden projek terbengkalai kian berkurangan.

    “Ianya sudah sampai satu tahap yang boleh dikatakan cukup rendah dalam sejarah industri pembinaan perumahan oleh swasta,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci dan Sijil Layak Menduduki (CFO) bagi perumahan Taman Desa Aman, di sini pada Jumaat.

    Chor berkata Selangor mencatatkan projek perumahan terbengkalai tertinggi dalam negara diikuti Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan, namun beliau tidak menyatakan jumlahnya.

    Beliau berkata di Pulau Pinang sebanyak 14 projek perumahan melibatkan 6,660 unit rumah diisytiharkan terbengkalai dari tempoh 2009 hingga 31 Dis tahun lepas.

    “Daripada jumlah tersebut, sebanyak sepuluh projek termasuk projek Taman Desa Aman ini telah pun disiapkan dan baki empat projek lagi sedang dalam pelbagai peringkat pemulihan. Kesemua empat projek ini dijangka siap penghujung tahun ini atau 2014,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan menyalurkan sebanyak RM13.6 juta untuk memulihkan projek perumahan Taman Desa Aman yang terbengkalai selama 10 tahun, melibatkan 392 unit rumah pangsa.

    Chor berkata kerajaan komited dalam menangani projek perumahan terbengkalai pada masa hadapan dengan mengambil pelbagai inisiatif termasuk memperkenalkan konsep Bina Kemudian Jual dan perundangan lebih ketat melalui pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

    — BERNAMA

    Artikel disiar pada 25/01/2013 - 4:15 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI