Wakil Rakyat PAS Khianati Amanah Pengundi

    ” Bila ditanya kenapa pimpinan Pas berkereta mewah, dijawab mereka ‘Tak boleh kufur nikmat’. Ke atas pimpinan Umno pula mereka kata, bazir duit rakyat’. “

    Sekarang apakah wujud YB Pas yang mengkhianati Islam ini? Ya kalau pun wujud, tetapi mereka bijak mencipta alasan, hingga ahli terpesona. Contoh, bila MB Kedah menukar kereta Mercedes baru bernilai sejuta, ada ahli Pas mengatakan MB memang patut guna kereta mewah untuk kesihatan diri, lebih selesa dan juga cepat bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

    Takkanlah MB nak pakai kereta bernilai 30 ribu ringgit. No point. Tetapi mereka lupa, sewaktu MB dan YB Umno pakai kereta begini, pimpinan Pas kecam dengan mengatakan itu pembaziran wang rakyat.

    Setelah hidup dalam keadaan mewah, telah pandai mencari ruang bisnes, projek dan lain-lain, mulalah menyibukkan diri dengan hal peribadi, hal keluarga dan perniagaan. Rakyat yang bagi undi tak hirau lagi, setengahnya jenguk muka pun tidak. Pengundi telah dianggap sebagai menyusahkan. Sudah terasa seperti menjadi Pegawai pejabat zakat atau Pegawai pejabat kebajikan.

    Jadi tumpuan untuk rakyat mengadu, tempat belia atau NGO minta derma dah tiada lagi. Dia yang dipilih oleh rakyat, sudah tidak selesa lagi bertemu rakyat. Inilah yang sedang berlaku.

    Ada yang lebih dahsyat lagi sehingga sanggup ponteng mesyuarat parlimen. Kalau pergi pun sekadar mendaftar diri untuk tuntut elaun mesyuarat. Lepas itu, tinggal dewan. Ke mana? Ana sibuk, ana ada kuliah, ana ada mesyuarat, ada itu dan ini. Lupa pula dia satu ketika sebelum jadi YB, menghentam YB BN/Umno kerana tak turun padang di DUN atau parlimen masing-masing.

    Marah pada YB BN/Umno kerana ponteng mesyuarat di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kononnya makan elaun buta, tidak amanah dan sebagainya.

    Penulis tidak perlu menyebut orang-orang ini, sebab mereka berada di tengah-tengah masyarakat. Mereka ada di tengah-tengah kelompok atau perkampungan orang Pas. Siapa sahaja boleh lihat sendiri bagaimana kehidupan mereka sebelum dan selepas jadi YB. Kalau dulu hanya kereta sederhana, beberapa bulan jadi YB tukar kepada estima, kemudian tukar lagi kepada Alphard.

    Kita akan terasa pelik lagi menghairankan jika ada YB BN/Umno hidup serba kekurangan, tetapi adalah amat terlebih pelik lagi mengejutkan jika YB dalam Pas tiba-tiba hidup dalam serba mewah di atas tiket perjuangan Islam. Sedangkan sebelum jadi YB, mereka ini berada dalam kategori orang yang layak terima BR1M ehsan dari PM, Datuk Seri Najib.

    Pas boleh berubah, tetapi Islam tetap tidak berubah. Penulis tidak sanggup melihat ahli-ahli Pas dipermainkan selamanya oleh pimpinan yang tamak haloba. Islam bukan lagi matlamat, tetapi kuasa mendahului segala-galanya. Oleh kerana bukan Islam antara penentu kemenangan untuk berkuasa, maka mereka dipandang lebih mulia dari tuntutan Islam.

    Kepentingan kuasa memerintah lebih diutamakan dari mempertahankan akidah dan maruah Islam. Lakukan segala-galanya untuk rakyat menyokong Pas, bukannya menyokong Islam. Hingga ada pemimpin yang langsung tidak sensitif lagi dengan setiap ucapannya.

    Ada yang berani mengemukakan cadangan untuk membolehkan orang bukan Islam jadi Timbalan Presiden Pas. Ada pula yang berani berkata yang akidah itu isu kecil berbanding isu lebih besar iaitu isu pengundi hantu.

    Artikel disiar pada 28/01/2013 - 7:05 pm oleh SGBSelangor

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI