Malaysia Tuan Rumah Forum Pelancongan Asean Tahun Depan

    VIENTIANE — Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen malam Khamis menerima plak sebagai tuan rumah Forum Pelancongan Asean (ATF), tahun depan.

    Beliau menerima plak ATF daripada Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos Chaleune Warinthrasak di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Laos di sini.

    Malaysia akan menganjurkan ATF ke-33 di Kuching, Sarawak dari 16 hingga 23 Jan 2014.

    Dr Ng berkata walaupun Asean adalah kecil, ia boleh menjadi kuat dalam industri pelancongan serantau, jika mereka bersatu.

    Katanya, Asean menerima kunjungan seramai 18 juta pelancong pada tahun lepas dan berharap rantau ini akan menjadi rantau yang paling kerap dilawati pelancong di dunia pada masa akan datang.

    Dr Ng berkata ATF tahun depan akan menjadi acara utama bagi menyambut kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014.

    Dalam mesej beliau yang disiarkan di dalam buku ATF ke-33, Dr Ng berkata Asean perlu mengamalkan pendekatan pembangunan mapan sebagai asas dalam inisiatif pelancongan dan pembangunan pelan pembangunan selari dengan falsafah ‘Pelancongan memulihara, memelihara dan melindungi”.

    “Tema ATF 2014 ‘Asean – Memajukan Pelancongan Bersama-sama’ adalah tepat pada masanya untuk Asean berfikir dan bertindak dalam melaksanakan inisiatif tenaga mapan berinovatif yang akan memastikan persekitaran semula jadi kita dipelihara bagi generasi akan datang,” katanya.

    Sarawak diliputi hutan hujan tropika tertua di dunia yang dipercayai berusia berjuta-juta tahun.

    Sehubungan itu, katanya, venue forum tahun depan menjanjikan lokasi yang tepat untuk mengadakan perbincangan seumpama itu.

    “Perwakilan boleh membincangkan isu berkaitan pembangunan mapan sambil menikmati hasil yang diwujudkan oleh persekitaran sedemikian,” katanya.

    ATF, antara lain, bermatlamat melonjakkan Asean sebagai sebuah destinasi pelancongan pelbagai aspek yang menarik dan memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor dalam industri pelancongan Asean.

    ATF yang pertama telah diadakan di Genting Highlands dan Malaysia telah menjadi tuan rumah lima ATF setakat ini dengan yang terakhir pada 2005.

    ATF yang sedang berlangsung ini, dihadiri 1,600 perwakilan termasuk kira-kira 150 menteri dan pegawai pelancongan Asean, 800 pempamer Asean, 400 pembeli antarabangsa, 150 media antarabangsa dan tempatan selain 100 pengunjung perdagangan pelancongan.

    – BERNAMA

    Artikel disiar pada 25/01/2013 - 9:46 am oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI