Najib Lihat WEF Sebagai Peluang Keemasan Promosi Negara

    DAVOS (Switzerland) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai peluang keemasan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, perdagangan dan pelancongan.

    “Tujuan saya mengambil bahagian dalam WEF pada tahun ini ialah untuk mencapai beberapa objektif di mana yang utama sekali adalah bagi melakukan promosi untuk Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari Khamis.

    Penyertaan Najib merupakan kali pertama beliau sebagai Perdana Menteri dan atas jemputan pengasas WEF, Prof Klaus Schwab.

    Beliau melihat forum berprestij itu sebagai satu peluang yang harus diambil kerana WEF menghimpunkan para pemimpin politik dan perniagaan dari seantero dunia.

    Setiap tahun, penyertaan di WEF sentiasa meningkat dan pada tahun ini, ia mencecah lebih 3,000 penyertaan.

    Najib memaklumkan yang beliau turut mengambil peluang mengadakan pertemuan termasuk mengadakan perbincangan dua hala bersama beberapa pemimpin dunia.

    Antaranya termasuklah Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pascal Lamy, Menteri Kewangan Kanada, James M. Flaherty dan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.

    “Semasa pertemuan dua hala bersama Menteri Kewangan Kanada, saya akan sampaikan penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaannya yang telah meluluskan pelaburan besar Petronas di negara itu,” katanya.

    Petronas telah berjaya menyelesaikan pengambilalihan Progress Energy Resources Corp bernilai C$5.2 bilion pada Disember 2012.

    Beliau juga berkata pertemuan bersama pemimpin korporat dunia akan turut diadakan.

    “Saya akan mendengar cadangan mereka untuk melakukan pelaburan di Malaysia,” katanya.

    Antara konglomerat yang akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada hari ini ialah Mercuria Energy Switzerland, Itochu Corp, Hanwha Group, dan Evonik Industries AG.

    Perdana Menteri juga berkata kemuncak penyertaan Malaysia di WEF ialah Malam Malaysia yang akan diadakan esok.

    “Ramai dijangka hadir. Kita akan guna kesempatan untuk adakan beberapa acara yang menarik untuk kita highlight (ketengahkan) Malaysia dari pelbagai sudut,” katanya.

    Beliau percaya yang agenda transformasi negara iaitu Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi serta perancangan masa depan negara akan menarik perhatian mereka yang akan hadir pada malam itu serta pertemuan-pertemuan yang bakal diadakan.

    “Kita mempunyai cerita yang sangat menarik..a very good story line to tell the world (jalan cerita yang amat menarik untuk diberitahukan kepada dunia).”

    Mengulas tentang promosi negara melalui majalah The Economist, sepanduk dan CNN sepanjang WEF ini berlangsung, Najib berkata, “Kisah kejayaan Malaysia akan kita paparkan bukan sahaja melalui pertemuan-pertemuan ini tetapi juga melalui medium seperti akhbar, majalah dan televisyen.”

    “Apabila mereka tahu sebenarnya apa yang kita lakukan di Malaysia terutama dari sudut potensi masa depan, saya percaya kita akan menjadi sebuah negara yang paling menarik bagi mereka membuat pelaburan sama ada pelaburan langsung asing (FDI), pasaran modal ataupun pelancong semata mata.”

    Najib kini sedang melakukan lawatan kerja selama empat hari di sini bersempena WEF sehingga 26 Jan ini.

    — BERNAMA

    Artikel disiar pada 25/01/2013 - 9:01 am oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI