T-Team Turun Tanpa Kelibat Pemain Import Esok

    KUALA TERENGGANU — Pasukan berstatus kelab, T-Team tidak akan menurunkan pemain importnya pada aksi sulung menentang Perlis dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, esok.

    Ketua jurulatih Peter James Butler berkata kedua-dua pemain import Caleb Forlan dan George Boateng tidak dapat diturunkan akibat masing-masing mengalami kecederaan.

    Katanya mereka akan mempertaruhkan barisan pemain tempatan bagi melayan kunjungan Perlis, bukan memandang rendah terhadap lawan tetapi lebih selesa dengan pemain yang sedia ada.

    “Ini adalah perlawanan pertama penting jadi saya buat percaturan akan menurunkan barisan terkuat menentang Perlis untuk meraih kemenangan pertama Piala FA.

    “Saya lebih yakin dengan barisan pemain yang diturunkan ini yang diharap mampu merealisasikan impian kita untuk menang perlawan penting ini esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Bola Sepak ‘The Titans’ di Gong Baru di sini hari Khamis.

    Butler berkata beliau mempunyai barisan pemain muda yang mampu memikul tanggungjawab apabila beraksi menentang Perlis.

    Bagaimanapun, dia masih belum menentukan barisan utama yang akan diturunkan menentang pasukan kendalian Yunus Alif.

    “Meskipun, Perlis merupakan pasukan Liga Perdana, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dalam perlawanan pembukaan Piala FA itu kelak.

    “Senario Piala FA berbeza berbanding Liga Super malah apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

    Menurutnya Perlis mempunyai beberapa pemain berbahaya seperti Emmanuel Okine dan Dennis Antwi yang perlu diberi perhatian dalam perlawanan itu.

    Katanya, beliau berharap anak buahnya dapat memberi sepenuh tumpuan sepanjang tempoh perlawanan sekali gus meraih kemenangan.

    – BERNAMA

    Artikel disiar pada 24/01/2013 - 10:16 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI