Bukan drama, tapi strategi – Jozan

    BUKAN drama, tapi ia adalah strategi yang tidak disengajakan. Itulah ungkapan yang dinyatakan Johan atau nama sebenarnya, Yazid Lim Mohamad Aziz berhubung kemunculan mengejutnya di gelanggang akhir Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM2012) yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor pada Jumaat lalu.

    Tegas Johan, dia sanggup menuam ais selama setengah jam dan memakai ‘guard‘ lutut supaya boleh berjalan seperti biasa daripada berdrama dengan muncul bertongkat atau berkerusi roda semata-mata mengelak dikatakan sengaja menagih simpati peminat mahupun juri.

    “Ia adalah strategi yang hadir secara tidak sengaja daripada kecederaan yang saya alami.

    “Hanya tiga perkara sahaja yang menyebabkan saya tekad untuk tampil pada malam ini iaitu demi rezeki keluarga, semangat Zizan dan jasa peminat.

    “Saya ada isteri dan dua anak untuk disuap. Apabila mara ke final, saya sudah tahu, ada rezeki yang tertulis pada malam ini. Cuma saya tidak tahu adalah yang mana satu antara lima kedudukan tersebut milik Jozan.

    “Jika ditakdirkan memenangi tempat kelima dengan wang tunai RM15,000 sekalipun, saya tetap bersyukur dengan rezeki yang ada.

    “Bagaimanapun, Alhamdulillah, pengorbanan saya ini ‘dibayar’ dengan harga RM500,000 itu adalah bonus buat kami,” jelas Johan sambil menuam ais di lututnya yang dirasakan sudah bentan itu.

    Tambahan pula, menurut Johan kemunculannya juga didorong oleh janji yang dilafazkannya kepada Zizan iaitu sejak awal lagi sebelum membuat keputusan menyertai MLM2012, mereka telah sepakat untuk berjuang habis-habisan.

    “Pendek kata, senang sama-sama, susah pun sama-sama. Apatah lagi dua minggu sebelum ini, Zizan telah berhempas pulas beraksi berseorangan bagi mengukuhkan penguasaan Jozan di tangga teratas carta mingguan MLM2012.

    “Dan yang terakhir adalah demi peminat yang tidak pernah mengenal erti putus asa menyokong Jozan. Saya harus ‘membayar’ semua itu dengan menguatkan semangat dan menahan segala kesakitan bagi mengharungi malam final ini bersama Zizan,” jelasnya panjang lebar.

    Mengulas mengenai perkara tersebut juga, rakan baiknya, Mohd.

    Razizan Abd. Razak atau Zizan menyatakan, dia tidak pernah mendesak Johan untuk beraksi pada malam itu sebaliknya rakan duonya itu yang bersungguh-sungguh mahu datang ke Johor Bahru demi menyempurnakan apa yang telah mereka harungi selama sembilan minggu sebelum ini.

    “Saya tidak nafikan, dengan keadaan yang menimpa Johan, saya sedikit tertekan dan ia memberi impak dalam persembahan yang dipamerkan dua minggu sebelum ini.

    “Akan tetapi, iltizam yang ditonjolkan Johan itu berjaya membakar semangat saya semula untuk menampilkan persembahan yang lebih baik bagi menghargai pengorbanan yang dilakukannya,” luah Zizan yang sangat terharu dengan semangat setia kawan yang ditunjukkan sahabatnya itu.

    Terdahulu, pada 26 Disember lalu, Johan dimasukkan ke hospital gara-gara mengalami kecederaan di bahagian ligamen lutut kiri ketika bermain futsal bersama rakan-rakannya.

    Disebabkan itu, dia terpaksa menjalani pembedahan kecil dan dilarang melakukan banyak pergerakan sehingga ia pulih sepenuhnya kira-kira dalam tempoh dua minggu lagi.

    Sumber-

    Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130122/hi_01/Bukan-drama-tapi-strategi—Jozan#ixzz2IwMJUmZ0
    © Utusan Melayu (M) Bhd

    Artikel disiar pada 24/01/2013 - 7:49 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI