Terima Kasih Pakatan Kerana Bangkit Isu Kalimah Allah

    Penulis ingin mengambil kesempatan pada kali ini untuk mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan hidayah yang diberikan kepada masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam untuk bersama bangkit mempertahankan isu kalimah Allah yang menjadi polemik mutakhir ini. Banyak juga penulisan yang diketengahkan, mengkritik secara langsung Pas kerana dilihat bersekongkol dengan DAP dalam mencari sokongan politik dan simpati rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

    Namun apa yang ingin penulis ketengahkan pada kali ini, ucapan terima kasih kepada DAP kerana membawa isu sehingga menjadi isu nasional. Tidak ketinggalan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada Mursyidul Am dan Presiden Pas atas sokongan yang diberikan kepada gesaan DAP untuk menyokong gesaan yang di bawa itu.

    Ini kerana, isu kalimah Allah ini telah berjaya membuka mata rakyat secara keseluruhan kepada asas dan dasar perjuangan pakatan pembangkang. Sedikit demi sedikit para penyokong mereka khususnya yang beragama Islam telah mula sedar hala tuju perjuangan yang selama ini berselindung di sebalik pelbagai slogan. Negara Islam, hudud, perjuangan rakyat dan sebagainya namun di masa yang sama mengangkat ideologi sekular yang dipaksikan dengan hak asasi manusia dan kebebasan agama.

    kalimah

    Sebagai contoh, baru-baru ini dilaporkan sekumpulan ahli dan penyokong berkumpul di Georgetown bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan Karpal Singh dan Azmin Ali yang mempertikaikan keputusan Majlis Syura .

    Majlis Syura Pas yang bermesyuarat baru-baru ini menyatakan pendirian menolak keputusan yang dibuat oleh pimpinan pakatan pembangkang yang membenarkan orang bukan Islam mengunakan kalimah Allah.

    Tidak cukup dengan itu, penulis juga berkesempatan untuk menonton satu rakaman program yang diadakan di Dataran Bandar Baru Chenor baru-baru yang memaparkan pengakuan seorang ketua cawangan DAP mengenai hala tuju dan perjuangan parti itu. Beliau yang penulis maksud ialah Wan Khairuddin bin Ahmad yang berkelulusan Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiyyah. Bapa beliau merupakan seorang tokoh agama dan merupakan pengasas kepada sekolah pondok Ahmadiyyah di padang Nyior Kuala Nerang Kedah.

    Wan Khairuddin

    Wan Khairuddin sebelum ini adalah merupakan ahli Pas, namun bertindak keluar dari parti ekoran kecelaruan Pas yang sanggup menerima ba’iah DAP. Yang lebih parah dan mengecewakan beliau, bila mana keputusan pemilihan parti itu yang diadakan telah mengangkat mereka yang bukan dari kelompok ulama untuk memimpin parti itu.

    Menurut Wan Khairuddin, ketika menyuarakan pendiriannya untuk keluar dari Pas dan menyertai DAP, beliau turut mendapat sokongan dari pimpinan Pas peringkat kawasan. Keputusan menyertai DAP dibuat kerana dasar yang cuba ditonjolkan oleh parti itu sebelum ini. Antaranya elaun untuk guru agama, peruntukan khas untuk sekolah agama rakyat dan sebagainya yang dilihat lebih islamik berbanding pemerintah sebelum ini.

    Selepas diterima menjadi ahli DAP, publisiti mengenainya telah mendapat liputan yang meluas didalam penerbitan parti itu. Ia dilakukan untuk menonjolkan isu kemasukan beliau sebagai bukti penerimaan orang Melayu Islam terhadap parti dasar yang dibawa oleh DAP. Ditambah pula dengan latarbelakang beliau dari kelompok agama dan lepasan universiti tersohor Islam Al-Azhar, Mesir

    Namun gesaan Setiausaha Agung DAP, berhubung isu kalimah ini telah membuka mata dan hati beliau. Pelbagai kajian dan analisa dilakukan yang membawa kepada kesimpulan semua dasar yang dilakukan sebelum hanyalah untuk menipu dan mengaburi  pandangan rakyat.

    Kenyataan Timbalan Preisden PKR, Azmin Ali yang menyelar keputusan Majlis Syura Pas turut dilihat sebagai pendekatan untuk mengajar ahli-ahli PKR khususnya dan penyokong pakatan amnya untuk menolak pendirian ulama.

    Disebabkan itu, beliau merasa terpanggil untuk bersama dengan gerakan dakwah bagi menerangkan kepada masyarakat. Beliau merasakan ia merupakan sebahagian dari tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini.

    Kesimpulannya, isu ini adalah merupakan ‘anugerah’ dari Allah swt buat rakyat Malaysia untuk menilai perjuangan sebenar pakatan pembangkang.

    Artikel disiar pada 24/01/2013 - 7:00 am oleh Zulkifli Rawi

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI