Selangor Lebur Rekod Tanpa Kalah Pahang

Editor: EDITOR | Diterbitkan pada: 20 January 2013
Kategori: SUKAN | Add Comment »



KUALA LUMPUR — Selangor berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pasukan Pahang pada saingan bola sepak Liga Super dengan kemenangan 3-2 di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

Kejayaan tipis itu membolehkan Selangor melonjak ke tangga kedua carta di belakang Pahang dan tempat ketiga oleh pasukan jemputan Singapura, Lions XII, yang sama-sama mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan.

Selangor bermula garang apabila penyerang veteranya, Amri Yahya berjaya menjaringkan dua gol pada minit ketiga dan minit ke-20.

Bagaimanapun, kedudukan selesa Selangor itu tidak kekal lama apabila Pahang bangkit dengan corak permainan kemas untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fauzi Roslan (minit ke-24) dan Razman Roslan pada minit minit ke-44.

Pada babak kedua, Pahang mula menonjol dengan penguasaan bola dan mengatur serangan sebelum Selangor menyekat kemaraan pasukan pelawat itu menerusi gol kemenangan oleh Ramzul Zahini pada ke-80.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII mencapai kemenangan ketiga setelah mengalahkan Terengganu 2-1.

Bagaimanapun, Terengganu mendahului babak pertama dengan jaringan Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-32 sebelum Lions XII bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Safuwan Baharudin pada minit ke-64 dan gol kemenangan oleh Syafiq Zainal pada minit ke-74.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila kalah 0-1 kepada Perak.

Gol Perak dijaringkan oleh Failee Ghazali pada masa kecederaan untuk membantu pasukan itu mencapai kemenangan kedua.

— BERNAMA

Leave a Reply