Kelab IPT BN Sasar Penyertaan 5,000 Mahasiswa Sebelum Pelancaran Kebangsaan

    KUALA TERENGGANU — Pemuda Umno menyasarkan penyertaan 5,000 mahasiswa dalam kelab penyokong parti Barisan Nasional (BN) di kampus institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menjelang pelancaran kelab itu Mac ini.

    Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata sasaran itu diharap dapat dicapai sebelum pelancaran kebangsaan kelab itu yang dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Kami yakin ia mampu menjadi kenyataan setelah menerima 350 penyertaan awal mahasiswa yang diserah kepada saya pada pelancaran pertama Kelab IPT BN zon Pantai Timur ini.

    “Saya percaya angka ini akan terus meningkat kerana kami masih ada lima lagi pelancaran yang akan dibuat iaitu di zon selatan, utara, tengah, Sabah serta Sarawak dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran sulung kelab zon pantai timur di sini hari ini.

    Buat permulaan, enam IPT zon pantai timur menyertai pelancaran itu iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Chendering dan Politeknik Kuala Terengganu.

    Beliau berkata langkah menubuhkan kelab itu yang diambil Pemuda Umno selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 2012 yang membenarkan mahasiswa telibat dan memegang jawatan dalam persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik.

    Selain berperanan memberi sokongan terhadap Umno dan BN, penubuhan kelab IPT BN itu juga adalah sebagai landasan untuk mahasiswa mengetengahkan pandangan dan idea kritikal mereka kepada kerajaan dalam mencapai perubahan, katanya.

    – BERNAMA

    Artikel disiar pada 19/01/2013 - 9:13 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI