Chong Wei Hampiri Misi Gelaran Kesembilan Terbuka Malaysia 2013

    KUALA LUMPUR — Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan Maybank Terbuka Malaysia buat kali kesembilan selepas mara ke perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Sabtu.

    Memburu gelaran kedua tahun ini selepas mempertahankan Terbuka Korea minggu lepas, pemain berusia 30 tahun itu, diberi tentangan sengit oleh pemain muda Denmark, Jan O Jorgensen sebelum mencapai kejayaan rubber set 21-13, 17-21, 21-12.

    Pada final Ahad, Chong Wei, pemain nombor satu dunia, akan menentang jaguh Indonesia Sony Dwi Kuncoro.

    Untuk rekod, dalam 13 pertemuan antara mereka, Chong Wei telah mengatasi lawannnya berusia 28 tahun itu sebanyak tujuh kali.

    Sony, pemain ranking kelima dunia, menempah tiket ke final selepas bertarung selama 72 minit sebelum mengejutkan pilihan kedua kejohanan, Kenichi Tago dari Jepun dengan keputusan 21-12, 19-21, 23-21.

    Sementara itu, beregu campuran utama negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berjaya menamatkan penantian mereka untuk beraksi di final Terbuka Malaysia apabila mencatatkan kemenangan ke atas pasangan Poland, Joachim Fischer Nielsen dan Christinna Pedersen pada perlawanan separuh akhir.

    Pasangan negara, selaku pilihan utama di sini, bagaimanapun terpaksa berhempas pulas selama sejam selepas kalah set pertama 12-21 sebelum bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 21-18, 21-16.

    Chan dan Goh bakal menghadapi tentangan sengit di final apabila bertemu pilihan kedua dari Denmark, Joachim Fischer Nielsen/Christinna Pedersen.

    Gandingan Denmark itu dengan mudah melepasi separuh akhir dengan mengalahkan gandingan Indonesia, Praveen Jordan/Vita Marissa dengan keputusan 21-14 dan 21-17.

    Bagaimanapun, harapan peminat tempatan untuk melihat beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Lim Khim Wah di pentas akhir tidak kesampaian apabila mereka kalah 11-21 dan 15-21 kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dalam masa 34 minit.

    Dalam acara separuh akhir perseorangan wanita, pemain pilihan utama Saina Nehwal dari India kalah mengejut kepada pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 22-20 dan 21-14.

    Tai, pilihan keenam kejohanan, akan menentang pemain China Yao Xue pada final. Sebelum itu Yao melangkah ke final dengan mengecewakan pemain Korea Selatan, Bae Yeon Ju dengan keputusan 21-15 dan 21-18.

    Acara beregu wanita akhir akan menyaksikan pertarungan antara beregu pilihan kedua, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi dengan Bao Yixin/Tian Qing dari China.

    — BERNAMA

    Artikel disiar pada 19/01/2013 - 9:00 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI