Dapatkan Tiket F1 2013 Pada Pelancaran Karnival Tahun Melawat Malaysia 2014

Editor: EDITOR | Diterbitkan pada: 19 January 2013
Kategori: SUKAN | Add Comment »



KUALA LUMPUR — Peminat Formula One (F1) boleh mendapatkan tiket Grand Prix (GP) F1 Petronas Malaysia 2013 akan datang di Stadium Nasional di Bukit Jalil hujung minggu ini sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata SIC akan membuka kaunter tiket di Tempat Letak Kereta Zon A sebagai sokongan kepada karnival itu dan Tourism Malaysia.

“Kami berasa bangga dikaitkan dengan karnival ini terutamanya perlumbaan F1 dijadikan satu daripada acara utama bagi Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Perlumbaan GP F1 Petronas Malaysia 2013 dijadualkan 22 hingga 24 Mac.

Razlan berkata SIC akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan rakan kongsinya yang lain dalam menjadikan acara itu sebagai aktiviti hiburan, pesta, membeli-belah dan perlumbaan permotoran gilang gemilang untuk peminat terutamanya pelawat antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan pemegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan Kad Maybank untuk membeli tiket mereka pada karnival tiga hari itu,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply