Perlu Wujud Satu Gerakan Massa Untuk Realisasikan Penyatuan Islam

Oleh: 0a60a4xx | 19 January 2013 BERITA SGB| Add Comment »



KUALA LUMPUR – Di dalam usaha untuk memastikan wujudnya penyatuan di kalangan umat Islam dan Melayu di negara ini, maka perlu diwujudkan gerakan massa sebagai satu usaha untuk merealisasikan impian ini demikian menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato Seri Shahidan Kassim. Beliau yang diminta mengulas mengenai program Seminar Nusantara yang diadakan sebentar tadi menegaskan ia adalah merupakan hasil dari kajian yang dilakukan sebelum ini.

“Melalui kajian dan maklumat yang diterima dari pelbagai pihak, telah wujud satu kesedaran di kalangan rakyat yang mahu agar wujud satu penyatuan umat Islam dan Melayu.

“Mereka telah mula merasakan bahawa penyatuan itu penting” katanya yang ditemui selepas majlis ucaptama yang disampaikan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dato Dr Sidek Baba.

Beliau mengatakan seminar yang diadakan ini adalah merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh penganjur program Persatuan Generasi Bestari dengan kerjasama portal MyKMU.net dalam mewujudkan penyatuan di kalangan umat Islam di Malaysia.

Namun begitu, menurut beliau wujud satu halangan besar di kalangan pihak tertentu yang cuba mengagalkan usaha ini dengan meletakkan kuasa sebagai matlamat.

“Sudah pasti ia adalah merupakan halangan kerana mereka ini telah meletakkan kuasa sebagai matlamat. Tambahan pula kumpulan tersebut mempunyai pengikut mereka yang tersendiri. Sekiranya kita meletakkan perpaduan sebagai matlamat maka sudah pasti kuasa akan datang dengan sendirinya” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis yang mewakili kawasan Tambun Tulang itu merasakan seminar yang diadakan ini perlu diadakan dengan lebih kerap lagi. Ia sebagai satu usaha untuk memastikan agar lebih banyak kumpulan sasar dapat didekati.

“Sekiranya bertanya kepada saya, maka seminar seperti ini amat penting dan perlu diadakan setiap dua minggu dengan kumpulan sasar yang berbeza. Ia bagi memastikan matlamat mewujudkan penyatuan ini menjadi gerakan massa agar ia sampai ke telinga rakyat secara keseluruhan” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan melalui gerakan massa ini mereka yang cuba mengagalkan usaha penyatuan Islam dan umat Melayu serta menolak usaha yang dijalankan akan terpinggir dengan sendirinya. Ia adalah merupakan satu pendekatan ‘addinu nasihah’ tegasnya sambil memetik sabda junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mempertahankan tindakan pengunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam, Shahidan berkata ia adalah merupakan satu kenyataan politik.

“Azmin Ali bukan ahli agama, maka kenyataan yang dikeluarkan adalah merupakan kenyataan politik” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu telah mengeluarkan kenyataan menolak keputusan Majlis Syura Pas yang menghalang sebarang terjemahan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Alasan yang diberikan ialah, beliau mengunapakai keputusan bersama yang telah dicapai dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Leave a Reply