Peserta Seminar Nusantara Mengharapkan Agar Gagasan Penyatuan Dapat Dicapai

Editor: 0a60a4xx | Diterbitkan pada: 19 January 2013
Kategori: BERITA SGB | Add Comment »



KUALA LUMPUR – Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas dalam Artikel 3(1) memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Ianya dengan sendiri menolak anggapan bahawa Malaysia ialah negara sekular.  Menurut Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dato Dr Sidek Baba konsep negara sekular menolak hubungan agama dengan urusan kenegaraan. Di Malaysia peruntukan kewangan negara diberi untuk kemajuan Islam dalam bidang pendidikan, pembangunan ,perundangan syariah dan program patuh-syariah yang bersifat institusi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Seminar Nusantara anjuran Generasi Bestari dan portal MyKMU.net sebentar tadi. Seminar yang menghimpunkan tokoh dan ilmuwan Islam di Asia Tenggara itu antara lainnya bertujuan untuk mewujudkan kesefahaman serantau.

Cabaran terbesar yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Asia Tenggara ialah cabaran keilmuan dan pendidikan. Corak ilmu yang diajar dan proses pendidikan yang terjadi amat penting bagi menentukan jenis manusia, sumber daya atau modal insan yang dihasilkan oleh sistem pendidikan.

“Tajdid (transformasi) ilmu dan pendidikan perlu terjadi supaya corak kurikulumnya sepadu, masalah dualisme dalam sistem dapat diatasi dan ianya bakal melahirkan insan holistik yang tidak saja baik dalam ilmu diniahnya tetapi baik juga dalam ilmu akademik, professional, sains dan teknologi” katanya

Pengarah, Institut Wasatiyyah Malaysia, Tuan Haji Mohd Yusof Din yang juga merupakan Pengarah Seminar Nusantara ketika ditemui berkata program yang diadakan ini antara lainnya bertujuan untuk mewujudkan kesefahaman Islam antara negara-negara sekitar.

Salah seorang peserta dari Indonesia, Saifuddin Abdullah ketika ditemui berkata program yang diadakan ini adalah merupakan satu usaha yang sangat baik dalam menyatukan permasalahan umat Islam yang ada,

“Alhamdulillah, saya kira ia sangat bagus dan sangat baik kerana mencuba untuk menyatukan bangsa melayu sekaligus mencari solusi dari pelbagai permasalahan di nusantara.

“Saya kira ia merupakan itu sebuah gagasan yang sangat ‘briliant’ kerana seperti yang saya katakan memang sampai sekarang kita tidak bisa menyatu” katanya.

Beliau juga mengharapkan di akhir seminar nanti, satu gagasan dapat dicapai untuk kepentingan semua umat Islam di nusantara dalam mendepani masalah yang sedang dihadapi.

Selain Indonesia, seminar yang berakhir pada 20 Januari ini turut disertai oleh tokoh ilmuwan Islam serantau seperti Singapura, Myanmar, Filipina dan Thailand.

Leave a Reply