Ini Bukan Sindir, Ini Namanya Tak Tahu Malu!

Oleh: 0a60a4xx | 19 January 2013 KOLUMNIS| Add Comment »



Bantuan sebanyak RM100 untuk pelajar sekolah telahpun mula disampaikan kepada para ibu bapa. Walaupun jumlahnya tidak seberapa berbanding harga barang yang semakin meningkat lewat kebelakangan ini, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit beban mereka yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peralatan sekolah mahupun perbelanjaan sekolah anak-anak untuk beberapa hari.

Bagi mereka yang berpendapatan tinggi, jumlah sebanyak RM100 itu mungkin tidak memberikan sebarang impak kepada mereka. Mungkin disebabkan itulah, ada yang tidak segan silu untuk ke sekolah mengambil duit bantuan tersebut dengan memakai pakaian berwarna kuning berlambang BERSIH seperti di dalam gambar di atas. Mereka juga tanpa perasaan malu mengakui tidak memerlukan duit bantuan sebanyak RM100, RM250 mahupun RM500 sebaliknya mereka hanya mahukan pilihanraya yang adil.

Apakah pilihanraya yang telah dijalankan selama ini benar-benar tidak adil? Adakah masih juga mereka tidak mahu mengakui Suruhanjaya Pilihanraya telah menjalankan tugas dengan telus dan adil setelah menyaksikan empat negeri jatuh ke tangan Pakatan Pembangkang pada PRU12 lalu?

Memakai pakaian berwarna kuning ketika mengambil duit bantuan yang diberikan oleh kerajaan menurut mereka adalah sebagai satu cara menunjukkan sindiran mereka kepada kerajaan. Wan Kuntum berpendapat, perbuatan mereka ini sebenarnya bukanlah boleh dianggap sebagai satu sindiran sebaliknya ia adalah perbuatan orang yang tidak beradap dan tidak tahu malu.

Mereka ini beria-ia membangkang apa sahaja yang dirancangkan oleh kerajaan. Mereka ini beria-ia mengutuk dan menabur fitnah kepada kerajaan namun apabila ada sahaja program bantuan yang dijalankan oleh kerajaan, mereka jugalah yang terlebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Bagi Wan Kuntum, jika tidak suka, apa sahaja yang diberikan oleh kerajaan tidak perlu diambil mahupun diterima. Kerajaan tidak memaksa sesiapa sahaja yang beranggapan pemberian bantuan daripada kerajaan sebagai rasuah kepada rakyat untuk memohon untuk mendapatkannya. Ini tidak, baru sahaja kerajaan mengumumkan akan membuka peluang permohonan, mereka inilah yang terlebih dahulu memohon. Malahan, apabila diumumkan sahaja keputusan permohonan sudah boleh disemak, mereka ini jugalah yang terlebih-lebih bersemangat untuk membuat semakan.

Jika kita mempertikaikan apa yang dilakukan oleh mereka, jawapan standard yang mereka berikan tidak lain tidak bukan adalah duit bantuan tersebut adalah duit rakyat. Kononnya semua duit kerajaan adalah duit yang datangnya daripada rakyat. Semuanya adalah daripada hasil cukai yang dibayar oleh rakyat sedangkan hakikatnya bukan semua rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

Wan Kuntum sendiri tidak pernah memohon untuk mendapatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan walaupun mempunyai kelayakan.  Bukan Wan Kuntum tidak suka dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan, tetapi bagi Wan Kuntum, sudah banyak yang diberikan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat. Wan Kuntum tidak dapat memberi sumbangan kepada negara, cukuplah jika Wan Kuntum tidak menyusahkan kerajaan dengan melakukan tindakan yang nyata dan jelas menunjukkan sikap tidak berterima kasih.

Usah dipertikai apa yang perlu diberikan oleh kerajaan kepada rakyat kerana kerajaan telah berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat, sebaliknya tanyakan kepada diri sendiri apakah sumbangan yang telah kita berikan kepada kerajaan dalam usaha memaju dan mengangkat martabat negara. Jika menganggap dengan mengadakan siri himpunan yang mengumpulkan beberapa ribu orang dan disebarkan ke seluruh dunia melalui internet berjaya membuka mata dunia kepada negara ini, sesungguhnya itu adalah pemikiran yang sangat dangkal.

Jika tidak ada memberi sumbangan kepada negara, janganlah mengharapkan untuk dilimpahkan segalanya dengan percuma. Tiada apa yang percuma di dalam dunia ini, waima hendak membuang air pun perlu membayar beberapa sen.

Justeru, belajarlah berterima kasih dengan segala kemudahan yang telah diberikan oleh kerajaan dan bersyukur kepada Allah dengan keamanan dan kesejahteraan yang telah diberikan kepada negara.

Leave a Reply