Tunku Mahkota Johor Nafi Anggota TSN Berada Di Stadium Sultan Muhammad IV

Oleh: EDITOR | 18 January 2013 SUKAN| Add Comment »



JOHOR BAHARU — Anggota tentera yang kelihatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu ketika perlawanan bola sepak antara Johor Darul Takzim dan Kelantan dua hari lepas merupakan anggota komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).

“Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu,” titah baginda pada sidang media di kediaman baginda di sini Khamis.

Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK menyaksikan perlawanan terbabit.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

“Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor,” titah baginda.

Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.

Sementara itu, Tunku Ismail juga melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan itu.

Tindakan KAFA tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium adalah amat dikesali, titah baginda.

Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.

“Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium”.

— BERNAMA

Leave a Reply