Pembahagian Kerusi, Pemilihan Calon PRU-13 Hampir Selesai – Najib

Oleh: EDITOR | 18 January 2013 BERITA| 1 Comment »



KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah hampir selesai dan sebahagian besar penentuan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) juga telah diputuskan.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun, pemilihan calon masih memerlukan penelitian yang mendalam bagi memastikan pilihan itu adalah tepat, bukan sahaja dari sudut kebolehan tetapi juga dari segi penerimaan di kawasan yang ditandingi.

“Kita akan tentukan dan kita akan maklumkan (senarai calon), ada beberapa pandangan yang kita bincang tetapi belum buat keputusan lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN, di sini, malam Khamis.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata banyak petanda menunjukkan bahawa sokongan rakyat terhadap BN bertambah positif, bagaimanapun BN tidak mahu sebarang sikap terlalu selesa dan yakin seolah-olah tidak ada apa yang boleh menggugat kedudukan parti itu.

“Tapi kita pun sedar bahawa dalam masa pilihan raya ini, banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan kesudahannya.

“Saya berharap kita akan gandakan usaha kita, pastikan semua urusan yang perlu dilakukan akan dilakukan dengan sebaik mungkin dan terus memberi semangat keyakinan menang kepada jentera BN kita,” katanya.

Najib berkata mesyuarat itu turut membincangkan tentang keperluan lain seperti persediaan dari segi manifesto, logistik dan beberapa perkara lain dalam menghadapi PRU-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menjawab kemungkinan Parlimen akan dibubarkan serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 21 Mac depan, beliau berkata: “Tidak apalah, DUN Johor, DUN Johorlah, Parlimen, Parlimenlah.”

“Kita akan tahu apabila tiba masanya..kita masih meneka…tak apa teruskan tekaan…saya suka permainan meneka ini,” katanya.

Ditanya adakah mesyuarat Majlis Tertinggi BN itu merupakan mesyuarat terakhir sebelum PRU-13, beliau berkata: “Ini mungkin mesyuarat akhir atau mungkin ada lebih banyak mesyuarat lagi…juga minggu depan kita ada mesyuarat.”

Mengenai kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temubual dengan Bloomberg baru-baru ini yang mengatakan bahawa beliau (Najib) mewarisi sebuah kerajaan yang lemah, Perdana Menteri berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

“Kami akan melakukan sebaik mungkin…sudah tentu anda inginkan sebuah kerajaan yang kuat…semua mahu sebuah kerajaan yang kuat,” katanya.

— BERNAMA

One thought on “Pembahagian Kerusi, Pemilihan Calon PRU-13 Hampir Selesai – Najib

Leave a Reply