Alam Flora Ambil Masa Dua Hari Bersihkan Sampah Selepas Himpunan Anjura Pembangkang

    KUALA LUMPUR — Para pekerja Alam Flora Sdn Bhd terpaksa mengambil masa dua hari, dari pagi hingga ke malam, untuk membersihkan sampah sarap yang bersepah selepas Himpunan Pembangkang pada 12 Jan lepas.

    “Pihak Alam Flora menggunakan tiga lori kompektor (lori sampah) untuk mengangkut kesemua sampah berkenaan dengan kos pembersihan kira-kira RM21,250,” kata Pengurus Perkhidmatan Alam Flora Bahagian Kuala Lumpur, Mohd Idris Mohamed Yusof.

    Beliau berkata selama dua hari berturut-turut, seramai 79 pekerja Alam Flora ditugaskan dari pukul 7 pagi hingga 8 malam, membersih sampah sarap yang ditinggalkan para peserta perhimpunan anjuran parti pembangkang itu.

    Di lapan lokasi yang dikutip, timbunan sampah boleh memenuhi separuh rumah teres, dan ini tidak termasuk sampah yang dibuang di Stadium Merdeka yang diuruskan pemilik Stadium Merdeka, Merdeka Heritage Trust, katanya kepada Bernama di sini Khamis.

    “Jumlah kutipan sampah oleh Alam Flora itu hanya membabitkan lapan lokasi yang menjadi tempat peserta perhimpunan berkumpul dan berarak di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan, KLCC, Pasar Seni, Masjid Negara, Kelab Sultan Sulaiman dan Brickfields.

    “Ia (kutipan sampah) yang terdiri daripada pelbagai jenis botol minuman, plastik makanan, kotak, tin, poster dan risalah itu tidak termasuk sampah yang dibuang di Stadium Merdeka, lokasi peserta berhimpun yang berkemungkinan mengumpul jumlah sampah yang lebih besar,” katanya.

    Sementara itu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa bekerjasama dengan Alam Flora sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga kebersihan bandar raya.

    “Justeru sekiranya ada apa-apa kos tambahan untuk pembersihan, pihak Alam Flora boleh mengemukakan laporan dan tuntutan mereka kepada DBKL,” katanya.

    — BERNAMA

    Artikel disiar pada 18/01/2013 - 9:02 am oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube
    Recent Posts
    @PortalSGB_



    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI