Satu Kupasan Berhubung Isu Listen! Listen! Listen!

Editor: 0a60a4xx | Diterbitkan pada: 20 January 2013
Kategori: KOLUMNIS | 1 Comment »



Baru-baru ini heboh di media-media sosial mengenai rakaman video klip yang berlaku sedikit kekecohan antara pelajar dan juga moderator program ketika berlangsung sebuah forum di salah sebuah universiti di negara ini. Sengaja penulis tidak mengunakan nama pengenalan terhadap insiden tersebut kerana merasakan ia hanyalah merupakan satu isu remeh yang sengaja digembar-gemburkan oleh media pembangkang.

Motif mereka hanyalah bertujuan untuk mempromosikan idea yang diketengahkan oleh pembangkang dan masa yang sama memberikan semangat kepada golongan mahasiswa yang lain untuk sama bangkit menentang kerajaan.

Secara peribadi penulis merasakan tindakan moderator program tersebut yang enggan memberikan pelajar tersebut menghabiskan soalannya adalah salah. Ini kerana ia telah membuka peluang kepada penyokong pembangkang untuk menyerang dengan semahunya.

Penulis tidak berhajat untuk menyentuh secara keseluruhan forum tersebut kerana isu mengenainya telah banyak diperkatakan. Apa yang ingin dibincangkan adalah mengenai isu pendidikan percuma yang dibangkitkan oleh pelajar tersebut.

Pelajar tersebut dengan rasa yakin membandingkan negara ini dengan kerajaan Cuba kerana tidak mampu menawarkan pendidikan tinggi secara percuma kepada setiap rakyat. Namun pelajar tersebut nyata tidak peka akan situasi sebenar di negara tersebut.

Setiap perbandingan seharusnya dibuat secara adil atau dalam pepatah Inggeris disebut ‘apple to apple’. Adalah satu yang tidak dapat disangkal ialah, benar kerajaan Cuba menawarkan pendidikan tinggi percuma, namun ia tidak datang secara bergolek.

Pertama, semua graduan yang telah menamatkan pengajian diwajibkan untuk melakukan kerja khidmat komuniti selama 2 tahun  mengikut bidang pendidikan yang di ambil. Mereka perlu berkhidmat di kawasan miskin dan luar bandar dengan bayaran yang sangat rendah.

Kedua, ekoran masalah ekonomi yang melanda negara tersebut sekitar tahun 1990, salah satu sektor yang terjejas teruk adalah bidang pendidikan. Pendapatan bulanan para guru dan professor tidak mampu menampung perbelajaan dan kehidupan mereka. Sehingga mengakibatkan  tenaga pengajar yang berpengalaman meninggalkan bidang pengajaran bagi mencari kerja di bidang yang lebih menguntungkan.

Ramai yang tidak menghabiskan pengajian kerana lebih berminat untuk bekerja manakala mereka telah tamat pengajian mengelak dari menjadi warga pendidik.

Ketiga, baru-baru ini kerajaan Cuba telah bertindak memotong peruntukan yang memberikan pendidikan percuma dengan menggerakkan rakyat untuk memilih kerjaya yang lebih praktikal sebagai satu usaha untuk mengurangkan kos dan memenuhi keperluan dalam tenaga kerja.

Kemasukan pelajar ke universiti juga telah turun secara mendadak, di mana bilangan penurunan hampir 50 peratus kepada 156,000 pada tahun 2011, daripada 300,000 pada tahun 2008. Seterusnya pendidikan lanjutan juga menurun secara mendadak bilamana hanya 145,000 pelajar sahaja yang mendaftar pada tahun lepas daripada 578,000 yang mendaftar pada tahun 2008.

Sebenarnya banyak lagi hujah yang boleh digunakan bagi mematahkan isu yang dibangkitkan oleh pelajar tersebut. Namun bukan mudah untuk menyakinkan mereka yang telah termakan dengan doktrin pembangkang yang hanya tahu menyalahkan kerajaan.

Para pelajar khususnya memang mengharapkan sistem pendidikan yang berbentuk percuma, kerana apa-apa kos pendidikan yang digunakan seperti yuran khususnya akan ditanggung oleh pihak kerajaan. Namun, sejauh mana perkara ini boleh membantu para pelajar? Bagi sesiapa yang berfikiran ke hadapan, jika pendidikan di negara Malaysia juga mengamalkan sistem pendidikan percuma ia merupakan sesuatu yang akan mendatangkan keburukan pada masa akan datang.

Kita melihat dari sudut pelajar itu sendiri. Sekiranya pendidikan percuma diberikan kepada para pelajar, dengan erti kata lain ia merupakan jaminan untuk meringankan beban para pelajar tersebut. Namun, apabila difikirkan semula, ia adalah lebih membebankan para pelajar khususnya pelajar yang menyambung pengajian yang merupakan pelajar yang tergolong dalam golongan miskin atau sederhana.

Hal ini menunjukkan, sekiranya diberi pendidikan percuma, ia hanya menampung kos yuran atau kos pendidikan di sesebuah institut pengajian. Ini bermakna kos sara hidup sama ada perbelanjaan harian iaitu makanan dan  peralatan untuk belajar terutamanya, adalah ditanggung seratus peratus oleh pelajar tersebut bersama-sama dengan keluarga mereka. Hal ini nampak begitu mudah jika ia melibatkan pelajar daripada golongan berada, namun ia nyata merupakan bebanan kepada rakyat Malaysia.

Kesan yang lebih dahsyat lagi yang kita akan nampak sekiranya sistem pendidikan di negara ini diberikan secara percuma, ia akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi Malaysia. Seperti yang kita tahu, negara ini merupakan negara membangun dan ekonomi Malaysia juga tidak dianggap begitu stabil lagi.

Ini dapat dibuktikan dengan Dasar Ekonomi Baru Malaysia yang mana belum mampu untuk menghapuskan kadar kemiskinan rakyat. Sewajarnya, pihak yang berkenaan perlu menitikberatkan ekonomi rakyat terlebih dahulu dengan berpaksikan ekonomi negara. Walhal, ekonomi negara tidak begitu stabil, maka adakah relevan untuk memberikan pendidikan secara percuma?

Kesimpulannya adalah lebih baik, sekiranya pakatan pembangkang menguna pakai pendekatan yang dicadangkan itu di negeri-negeri yang dikuasai mereka. Sekiranya mereka benar-benar ikhlas, ada lebih baik ditawarkan dahulu pendidikan percuma untuk anak-anak kelahiran Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sebelum mempengaruhi pelajar dengan idealogi sonsang.

One thought on “Satu Kupasan Berhubung Isu Listen! Listen! Listen!

Leave a Reply