Chong Wei Gah Buka Kempen Kesembilan Kejuaraan Terbuka Malaysia

Oleh: EDITOR | 17 January 2013 SUKAN| Add Comment »



KUALA LUMPUR — Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei memulakan misi memburu kejuaraan Maybank Terbuka Malaysia 2013 kali kesembilan apabila mara ke pusingan kedua di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Rabu.

Pemain berusia 30 tahun itu mempamerkan aksi kemas pada pertarungan pembukaan dengan mudah menumpaskan juara junior dunia 2010, Viktor Axelsen dari Denmark 21-8, 21-10 dalam masa 27 minit.

Chong Wei, selaku pilihan utama dan pemain nombor satu dunia, akan menentang pemain nombor 12 dunia, Boonsak Ponsana dari Thailand, pada saingan pusingan kedua Khamis.

Pemain nombor dua negara Liew Daren turut layak ke pusingan kedua selepas membenam pemain India, Ajay Jayaram 21-15, 21-11.

Bagaimanapun, Liew memperoleh laluan percuma ke suku akhir Jumaat ini apabila bekas juara Olimpik Taufik Hidayat dari Indonesia menarik diri akibat kecederaan.

Taufik sebelum itu melakukan kejutan apabila mengalahkan pemain pilihan ketiga kejohanan, Nguyen Tien Minh dari Vietnam, 10-21, 21-7, 21-9 pada pusingan pertama dan dijangka menentang Liew pada pusingan kedua.

Beregu utama negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong turut melangkah ke pusingan kedua apabila menundukkan beregu Indonesia Yonathan Suryatama Dasuki/Hendra Aprida Gunawan, 21-15, 21-15.

Beregu Goh V Shem dan Lim Khim Wah juga mara ke pusingan kedua setelah mengalahkan beregu Denmark, Rasmus Bonde/Mads Conrads-Petersen 23-21, 16-21, 21-11.

Beregu pilihan kelima Hoon Thien How/Tan Wee Kiong juga melangkah ke pusingan kedua dengan mengatasi beregu Denmark Christian John Skovgaard/Mads Pieler Kolding 22-20, 21-19.

Beregu negara Gan Teik Chai/Ong Soon Hock juga melangkah ke pusingan seterusnya dengan menewaskan gandingan Marcus Ellis (England)/ Paul Van Rietvelde (Scotland) 15-21, 21-17, 22-20.

Dalam acara perseorangan wanita, Sonia Cheah menjadi wakil tunggal negara ke pusingan kedua apabila mengalahkan pemain Jepun, Sayaka Takahashi 15-21, 21-19, 21-18.

Bagaimanapun, kesemua lapan beregu wanita negara gagal melepasi pusingan pertama.

Dalam acara beregu campuran, dua gandingan negara meneruskan saingan di pusingan kedua dengan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menumpaskan Sudket Prapakamol/Duanganong Aroonkesorn dari Thailand, 21-8, 15-21, 23-21.

Tan Aik Quan/Lai Pei Jing juga mencapai kejayaan awal dengan mengatasi gandingan Thailand, Thitipong Lapoe/Peeraya Munkitamorn 21-11, 17-21, 21-12.

— BERNAMA

Leave a Reply