Anak Muda Dipengaruhi Dengan Elemen Politik Kotor

Editor: 0a60a4xx | Diterbitkan pada: 17 January 2013
Kategori: SUARA ANAK MUDA | Add Comment »



Memfitnah pemimpin dan pemerintah ketika demonstrasi anjuran parti pembangkang  adalah sering kali dilaksanakan mereka. Sehinggalah berlaku tindakan seorang anak muda melondehkan seluarnya di hadapan gambar pemimpin negara. Berita itu yang bukan sahaja mengundang kritikan ramai pihak, juga turut memberi gambaran jelas sikap seorang anak muda apabila terpengaruh elemen politik kotor.

Salah siapa? Siapa yang menghimpunkan anak muda ini? Apakah perkara yang telah mempengaruhi untuk mereka bertindak sedemikian rupa? Beginikah cara yang diajar penganjur untuk anak muda menggunakan hak kebebasan bersuara? Adakah kerana rantau dunia lain bergolak kita harus ikut cara mereka juga?

Politik zaman sekarang diakui antara penyebab berlakunya keadaan tidak aman, menyebabkan berlakunya persengketaan, pertelingkahan, perpecahan di kalangan umat Islam dan orang Melayu, masalah perkauman, pergaduhan, fitnah menfitnah, menjual agama untuk politik, dan ini jelas membuktikan bahawa politik kita masih lagi “separa matang” mengenai demokrasi.

Mungkin wujud perbezaan negara kita mengamalkan sistem ini dengan negara luar yang lain, namun perbezaan inilah yang telah menjamin keharmonian sehingga kini.

Bahkan, untuk kita mengamalkan bulat-bulat sistem demokrasi sebenar, kita mungkin akan hilang identiti. Oleh kerana itu, ada beberapa perkara seperti “hak kebebasan” yang terpaksa kita minimakan berikutan tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia.

Oleh itu, perubahan keseluruhan sistem pemerintahan negara secara total dan drastik akan menyebabkan beberapa perkara yang terpelihara dan terlindung akan tergugat. Ini sekaligus mendatangkan implikasi terhadap bangsa, agama, dan negara.

Segala tindakan provokasi terhadap kerajaan, seperti rusuhan jalanan, sememangnya berlaku di rantau dunia dimana telah menyaksikan kejatuhan satu persatu pemerintahan negara yang bergolak, dan situasi ini telah cuba ditarik untuk masuk ke dalam negara kita.

Ada negara melakukan revolusi hanya melalui desakan rakyatnya, namun ada juga yang mengangkat senjata bagi menumbangkang pemerintah sehingga tercetusnya perang saudara. Pemerintah yang menghalang gerakan bersenjata ini akan berhadapan pelanggaran “hak asasi manusia” dan “hak kebebasan” ini berikutan campur tangan asing yang mempunyai agenda “demokrasi”.

Pemerintah yang membunuh pemberontak bersenjata dalam negara mereka sendiri, diklasifikasikan sebagai membunuh rakyat sendiri. Dengan hanya beralasakan itu, campur tangan luar masuk dan kemudiannya membantu pemberontak menumbangkan kerajaan.

Penjajahan dan penaklukan oleh negara luar berkonsepkan “huru hara yang berlaku di dalam sebuah negara itu, kami akan masuk untuk mengamankan mereka atas dasar demokrasi”. Inilah antara nasib yang berlaku keatas negara yang berhadapan masalah memahami demokrasi.

Malah negara jiran kita Indonesia semasa tercetusnya “Revolusi” bertukar menjadi rusuhan kaum yang amat dasyat.  Hal ini berlaku apabila tiada kawalan, sekatan, perlindungan, sehingga menjadi tidak terkawal lalu huru hara. Peristiwa yang menjadi sejarah hitam buat mereka yang berbangsa cina Indonesia itu amat jelas memberi pengajaran bahawa, “Revolusi” bukan acuan yang terbaik untuk dijadikan bahan berpolitik.

Leave a Reply