Jozan Tidak Mahu Terlalu Selesa

    KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kumpulan Jozan yang dianggotai oleh Zizan Razak dan Johan tidak mahu berasa selesa dengan sokongan yang diterima selepas tujuh minggu mereka bertarung dalam Maharaja Lawak Mega Musim Ke-2 (MLM 2).

    Kumpulan itu yang terus mengungguli kedudukan pertama dalam pertandingan realiti tersebut berjaya mengumpul jumlah markah keseluruhan sebanyak 70.2 peratus.

    Sungguhpun begitu, Zizan berkata, pengalaman pertandingan Maharaja Lawak sebelum ini banyak mengajar agar tidak berasa selesa kerana mereka tewas di saat akhir kepada kumpulan Sepah.

    “Walaupun kelihatan kami terus mendahului pertandingan setelah beberapa minggu, keputusan itu bukanlah penentu kerana pertandingan belum tamat.

    “Mahkota kejuaraan masih terbuka kepada semua peserta dan yang pastinya mereka yang berjaya memberikan persembahan terbaik akan bergelar juara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Jozan berjaya mengumpul jumlah markah keseluruhan sebanyak 70.2 peratus daripada pembahagian markah 70 peratus juri tetap dan selebihnya 30 peratus undian peminat.

    Tambah Zizan, mereka juga tidak mahu bersandar pada populariti semata-mata dalam menghadapi pertandingan itu kerana yakin, populariti tidak akan membantu mereka menjuarai pertandingan tersebut.

    “Sungguhpun populariti itu penting namun sebanyak 70 peratus markah diberikan oleh juri tidak akan sesekali mengambil kira faktor tersebut.

    “Jadi populariti bukanlah penentu kejayaan sesebuah kumpulan itu kerana mutu persembahan yang diberikan adalah lebih utama,” katanya.

    Turut mengiringi dua kumpulan itu ke saingan seterusnya ialah kumpulan Shiro (61.5 peratus), Saywho (57.3 peratus), Boboi (57.1 peratus) dan R2 (55.5 peratus) manakala kumpulan Sabon tersingkir dengan markah 50.8 peratus.

    Sementara itu, kumpulan Sabon yang dianggotai oleh Abon dan Sathiya pula mengakui mereka bukan lagi tandingan pelawak generasi muda tetapi tetap berbangga kerana dapat bertahan sehingga minggu ketujuh.

    “Perjuangan kami belum selesai, ini hanyalah sebuah pertandingan dan sudah menjadi lumrah akan terdapat pihak yang tewas.

    “Selepas ini, kami akan tetap bersama untuk menghiburkan masyarakat Malaysia khususnya peminat kami yang terdiri daripada berbilang kaum,” katanya.
    Sumber-
    Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130101/hi_09/Jozan-tidak-mahu-terlalu-selesa#ixzz2GoYYtAaX
    © Utusan Melayu (M) Bhd

     

    Artikel disiar pada 02/01/2013 - 2:52 am oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI