Program Sukarelawan Belia 1Malaysia Jadi KPI Kementerian

Editor: EDITOR | Diterbitkan pada: 1 January 2013
Kategori: BERITA | Add Comment »



KEMAMAN — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu menjadikan program Sukarelawan Belia 1Malaysia Pasca Banjir KBS sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menggalakkan golongan belia tampil melakukan kerja kesukarelawan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata melalui program berkenaan, pihaknya boleh mengukur jumlah sumbangan tenaga golongan belia dalam tugas-tugas kesukarelawan.

Jelasnya pihaknya berpuas hati dengan jumlah pendaftaran seramai 1,500 yang mendaftar sebagai sukarelawan di seluruh negara termasuk lebih 1,000 yang mendaftar di Kemaman, setelah program tersebut dilancarkan semalam.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata pada peringkat awal ini, kementerian menyasarkan 3,000 sukarelawan akan mendaftar dalam program tersebut.

“Contohnya di Australia, sebanyak lima juta mendaftar sebagai sukarelawan sekali gus ia menyumbang 700 juta jam dalam kerja-kerja sukarelawan. Ia boleh menjadi KPI baru kepada Kementerian,” katanya kepada pemberita selepas majlis Bayaran Elaun Sara Hidup Secara Tunai Persatuan Nelayan kawasan Kemaman di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini kelmarin.

Ahmad Shabery berkata anggota sukarelawan dari luar Terengganu terutama golongan belia yang menghulurkan bantuan dengan pantas kepada mangsa banjir di Kemaman tempoh hari, mencetuskan fenomena baru dalam memberi bantuan kemanusiaan.

“Ini menunjukkan sikap ingin memberi bukan setakat menerima sahaja di kalangan belia hari ini dan merupakan ciri-ciri baik untuk negara.

“Walaupun sebelum ini sudah ada sikap sebegini tetapi kali ini tindakan yang dilakukan begitu pantas,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah LKIM negeri, Mohd Safee Mohamad dan seramai 453 golongan nelayan kawasan terbabit menerima elaun sara hidup sebanyak RM200.

– New Sabah Times

Leave a Reply