2013 Disambut Penuh Meriah

    KUALA LUMPUR — Pertunjukan bunga api menerangi ruang angkasa Dataran Merdeka sempena sambutan Tahun Baru 2013.

    Ia dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang menyaksikan rakyat pelbagai kaum membanjirinya sejak 6 petang, termasuk para pelancong asing.

    Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais serta menteri-menteri kabinet turut hadir memeriahkan sambutan bersama lebih 130,000 rakyat pelbagai kaum.

    Para pengunjung bersorak gembira apabila jam di Bangunan Sultan Abdul Samad berdetik sebanyak 12 kali bagi menandakan permulaan tahun baru.

    Situasi yang sama turut dilihat di beberapa tempat lain di sekitar ibu negara seperti di Menara Berkembar Petronas, Bukit Bintang serta pusat pentadbiran Putrajaya.

    Sambutan di Dataran Merdeka turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen yang turut memuatkan tayangan video klip perutusan tahun baru daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri sekitar taman awam bagi menyaksikan sambutan dengan persembahan memukau ‘Lake Symphony Fountain Show’, diiringi persembahan bunyian dan cahaya yang menarik sebelum percikan bunga api memenuhi ruang angkasa tepat pada tengah malam.

    Di PUTRAJAYA, percikan bunga api mewarnai ruang angkasa bagi melengkapkan acara yang turut mengadakan Konsert Ambang Tahun Baru di Dataran Putrajaya yang dimeriahkan dengan kemunculan artis-artis terkenal.

    Sambutan dianjurkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd bersama Kumpulan Ambank, yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

    Di MELAKA, acara sambutan diserikan dengan program keagamaan di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh.

    Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diketuai Mufti Negeri Datuk Wira Rashid Redza Md Saleh beserta bacaan Yasin dan tahlil.

    Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut hadir bersama kira-kira 1,000 jemaah.

    Di JOHOR BAHARU, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman bersama Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyertai ribuan masyarakat menyambutnya di Sutera Square.

    Di GEORGE TOWN, 10,000 pengunjung membanjiri Padang Kota Lama bagi menyertai acara menghitung detik tahun baru.

    Di IPOH, sambutan diadkan di Stadium Indera Mulia yang disertai 5,000 pengunjung.

    – BERNAMA

    Artikel disiar pada 01/01/2013 - 10:09 am oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI