Lemas diganggu surat lucah

Editor: EDITOR | Diterbitkan pada: 31 December 2012
Kategori: HIBURAN | Add Comment »



SUDAH namanya selebriti, ke mana sahaja pergi pasti ada yang mengekori. Kalau mengekori sahaja tidak menjadi masalah tetapi apabila diganggu, itu mungkin sesuatu yang boleh membuatkan diri seseorang selebriti itu gusar.

Tidak tahu dari mana silapnya, Feeya atau nama sebenarnya Nor Shafiza Iskandar Azizan mengakui dia kini diganggu individu misteri semenjak awal tahun lalu.

“Gangguan berlaku agak kerap juga, orang misteri terbabit akan mengetuk pintu rumah saya sambil memanggil nama saya, bila saya keluar adalah dia tinggal sepucuk surat yang berbau lucah.

“Gangguan ni berlaku bukan setiap hari namun buat masa sekarang masih tidak putus-putus. Saya harap perkara ini akan menemui jalan noktahnya, walaupun saya tidak diapa-apakan tapi saya turut risaukan keselamatan saya,” jelas Feeya.

Tambahnya lagi, bagi memastikan dirinya berada dalam keadaan selamat, dia telah melaporkan hal ini kepada pengawal keselamatan yang menjaga kawasan perumahannya. Kalau keadaan bertambah buruk tidak mustahil dia akan melaporkan kepada polis.

Apabila ditanya adakah gangguan tersebut kerana orang menganggap dirinya sebagai simbol seks, jelasnya perkara tersebut sebenarnya bukan menjadi perkara utama. Ini kerana tanggapan simbol seks itu berbeza-beza.

“Tidak timbul soal simbol seks atau tidak, saya sendiri pun bukan jenis yang suka pakai seksi seperti orang lain, saya hanya memakai pakaian seperti apa yang orang pakai sekarang dan tidak pernah lebih-lebih.

“Tanggapan seksi dan seks ni berbeza kepada seseorang, walaupun pakai baju kurung ada juga yang menganggap itu seksi, istilah seksi sukar untuk diolah.

“Nak halang orang bukan perkara yang mudah, bagi saya biarlah saya baik dengan semua orang dan paling penting tidak sombong dengan sesiapa pun.

“Buat masa ni saya perlu menjaga diri saya supaya perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku, pihak Astro sendiri juga ada menasihati saya supaya tidak terlalu memuat turun gambar-gambar yang boleh disalah erti oleh orang lain dalam laman Facebook saya,” jelas Feeya atau lebih dikenali Cik Piah ketika ke udara di Sinar FM.

Mahu sehebat

Kak Engku

Menjadikan Kak Engku sebagai idolanya, jelas Feeya tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi seorang penyampai radio, namun kini dirinya begitu selesa di konti.

Pernah menyertai program realiti, Anak Wayang pada 2010, Feeya tidak mensia-siakan pakej dan bakat yang ada pada dirinya untuk diketengahkan sebagai seorang penyampai radio.

“Selepas tersingkir daripada Anak Wayang, kebetulan masa tu stesen radio Era FM membuka uji bakat mencari penyampai radio separuh masa.

“Saya menghadiri uji bakat tersebut untuk mencuba nasib dan Alhamdulillah, nasib menyebelahi saya kerana berjaya melayakkan diri menjadi seorang deejay,” katanya.

Feeya berkata, kejayaannya itu dianggap sebagai rezeki hasil usahanya sendiri mengetengahkan bakat dan kelebihan yang ada dalam dirinya selama ini.

“Setelah berjaya dipilih menjadi penyampai radio separuh masa di Era FM, saya ditawarkan pula berkhidmat di stesen radio XFM selama dua bulan. Akhirnya saya ditawarkan oleh stesen radio Sinar FM untuk menjadi penyampai sepenuh masa sehingga ke hari ini.

“Saya sebenarnya cukup meminati Kak Engku (Raja Azura) dan sekiranya boleh saya ingin menjadi sehebatnya. Kak Engku begitu selamber dalam konti, dia dengan dirinya sendiri tanpa kompromi.

“Selain menjadi penyampai radio, Kak Engku juga boleh berlakon menjadi pengacara acara-acara besar, kehebatannya bukan hanya terbatas pada penyampai radio sahaja. Saya akui Kak Engku adalah idola saya,” jelas Feeya.

Berjiwa retro

Dikenali dengan panggilan Cik Piah, ia dilihat serasi dengan empunya diri yang suka bercakap. Malah saban hari, gadis manis ini semakin disenangi pendengar tegar Sinar FM.

Walaupun baru berusia 23 tahun, anak jati Johor ini dilihat seakan-akan sebati dengan lagu-lagu lama ataupun retro yang kebiasaannya hanya diminati oleh golongan yang lebih berumur.

“Bagi saya muda ataupun tua itu tidak menjadi masalah, yang penting adalah hati kita. Saya tidak bermasalah dalam mengendalikan segmen-segmen lagu-lagu retro kerana jiwa saya juga berjiwa retro.

“Sebenarnya jiwa retro ni lahir apabila saya dikelilingi oleh orang-orang yang lebih berusia daripada saya antaranya mak dan mak saudara saya, selain itu saya sendiri juga meminati lagu-lagu lama antaranya lagu-lagu rock kapak,” jelas graduan diploma Pengurusan Seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Menurutnya, sebagai penyampai radio, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan secukupnya untuk memberi informasi berguna kepada pendengar dan bukannya sekadar bercakap kosong.

“Saya perlu banyak membaca supaya tidak ketinggalan dengan isu-isu semasa yang berlaku untuk dikongsi bersama pendengar dan juga perlu memastikan sumber yang diperoleh adalah benar.

“Selain itu, saya juga perlu sentiasa berhati-hati sebelum bercakap terutama dari segi sensitiviti kerana ianya bakal menimbulkan masalah sekiranya berlaku sebarang kesilapan,” katanya.

Feeya juga turut berkongsi tip bagi memastikan pendengar mengikuti segmen yang dikendalikannya.

“Saya sentiasa menjadi diri sendiri sepanjang ke udara di corong radio dan keadaan ini membuatkan saya berasa lebih selesa dan tidak kekok menjalankan tugasan ini,” katanya.

Tumpu pada karier

Apabila ditanya soal percintaan, wajah gadis manis ini tiba-tiba menjadi merah padam, ternyata persoalan itu membuatkan Feeya malu untuk berkongsi kisah peribadinya.

Ujar Feeya, buat masa ini kisah percintaan perlu diletak ketepi kerana usianya yang masih muda dan ingin tumpukan kepada kariernya sekarang.

“Bukan tak nak bercinta, tapi bagi saya itu semua masih tidak penting lagi buat masa ini. berkawan memang ada tapi saya tidak fikir untuk pergi lebih jauh daripada itu.

“Biarlah masa yang menentukan segalanya, buat masa ini paling istimewa dalam diri saya adalah keluarga saya sendiri saya selesa dan gembira dengan karier saya sekarang. Saya mahu lebih berusaha sehingga ke peringkat lebih tinggi sebaris dengan penyampai berpengalaman yang lain.

“Banyak pengalaman saya peroleh sepanjang bergelar penyampai radio dan ianya sedikit sebanyak telah memberi pengajaran berguna kepada saya,” katanya.

Menurut Feeya, sebelum ini ramai juga yang tanya adakah dia ingin tinggalkan terus bidang lakonan yang menjadi titik mula kariernya sekarang, jelas Feeya perkara itu perlu difikir sedalam-dalamnya terlebih dahulu.

“Minat untuk berlakon tu masih ada namun, saya perlu memikirnya terlebih dahulu. Saya ada juga menerima tawaran tapi saya terpaksa tolak dengan baik kerana tidak mahu tugas saya sebagai penyampai radio ini terganggu.

“Saya berpegang pada pepatah jangan menjadi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Saya tak mahu apabila saya kejar dunia lakonan kerjaya saya sekarang pula yang terlepas.
Sumber-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121230/hi_01/Lemas-diganggu-surat-lucah#ixzz2GfptQDCM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply