Institusi Kemahiran Beri Peluang Kedua

Oleh: EDITOR | 31 December 2012 KOLUMNIS| Add Comment »



Gambar hiasan

Institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan lain-lain diwujudkan oleh kerajan melalui beberapa kementerian untuk memberi peluang kedua kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang menyambung pelajaran disebabkan memiliki keputusan yang kurang baik.

Penyediaan peluang ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahukan pembelajaran untuk sepanjang hayat.

Zaman sudah berubah dan kini institusi-institusi kemahiran ini dilihat amat penting bagi anak-anak muda untuk menyambung pengajian mereka. Ini kerana pada masa dahulu, tahap kelulusan institusi ini dipandang rendah oleh masyarakat kerana mereka hanya memiliki sijil sahaja dan institusi ini pula dipandang sebagai pilihan kedua.

Kini, walaupun mereka tidak memiliki keputusan yang baik, namun dengan adanya institusi seperti ini, mereka mempunyai peluang yang amat cerah untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas menamatkan pengajian di institusi kemahiran.

Pada hari ini, masih ada segelintir masyarakat yang masih memandang rendah pada lepasan institusi kemahiran ini. Bagi penulis, mereka ini sebenarnya terlalu cetek pemikiran dan tidak mengetahui fakta sebenar.

Jangan dipandang rendah akan lepasan institusi ini. Bagi penulis, lepasan institusi ini jika nak dibandingkan dengan lulusan lain, jauh lebih hebat mereka ini dalam skil praktikalnya (hands-on). Ini kerana skop pengajian mereka amat mementingkan latihan amali namun teori juga turut dilalui oleh mereka.

Pelbagai pilihan jurusan yang boleh dipilih oleh mereka bagi peringkat sijil dan tempoh pengajian memakan masa selama satu hingga dua tahun. Selepas itu mereka berpeluang untuk menyambung ke peringkat diploma ke institusi yang sama (seterusnya dipanggil institut kemahiran tinggi, kolej kemahiran tinggi dan lain-lain) atau institusi pengajian awam yang lain sekiranya tamat pengajian dengan keputusan yang memenuhi syarat.

Untuk pengetahuan anda, diploma yang bakal dimiliki oleh lepasan institusi kemahiran ini adalah setaraf dengan diploma institusi pengajian awam dan swasta yang lain dan mereka ini  juga boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Seperti seorang pensyarah penulis dahulu, beliau yang memulakan pengajiannya di peringkat sijil di Institut Latihan Perindustrian, kini beliau telah memiliki Sarjana Muda (Master) dalam bidang Teknologi Maklumat.

Tiada beza mereka ini dengan lepasan institut pengajian yang lain. Yang membezakan hanyalah tempoh masa pengajian sahaja namun peluang untuk menggenggam segulung ijazah masih ada di depan mata.

Penulis menyeru kepada anak-anak muda yang tidak ditawarkan tempat pengajian disebabkan keputusan yang tidak memenuhi syarat, jangan buang masa anda di rumah. Jadikan institusi kemahiran ini sebagai pilihan untuk anda menyambung pelajaran.

Anda harus ingat, peluang untuk anda berjaya masih ada. Terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan peluang seperti ini kepada anak muda di Malaysia.

Leave a Reply