Malaysia Kini Diseru Henti Berita Cetus Sentimen Kebencian

Editor: 0a60a4xx | Diterbitkan pada: 30 December 2012
Kategori: POLITIK | Add Comment »



PENGERANG – Portal pembangkang Malaysiakini semalam dilihat sekali lagi cuba mewujudkan sentimen kebencian di kalangan masyarakat apabila menyiarkan laporan mengenai isu pemindahan kubur tanah. Isu dibangkitkan ekoran tindakan kerajaan melakukan penempatan semula perkuburan Islam di kampung yang terlibat dengan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas.

Lebih mengecewakan portal tersebut cuba mengambarkan kononnya pihak polis telah bertindak untuk menahan penduduk kampung yang mempersoalkan tindakan pemindahan tersebut.

Sebagai contoh kenyataan Naib Presiden Gabungan NGO Pengerang (GNP), Hasnul Ahmad semalam, mengatakan kononnya salah seorang penduduk kampung telah ditahan oleh pihak polis hanya kerana mempertikaikan tindakan kontraktor mengalihkan kubur neneknya tanpa pengetahuannya.

Menurut Setiausaha Umno Bahagian Pengerang, Haji Ghazali Abas isu ini timbul apabila Yahaya Abdul Hamid dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan ancaman. Disebabkan itu, pekerja tersebut telah membuat satu laporan polis bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

Yahaya kemudiannya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan yang telah dibebaskan dengan ikat jamin semalam. Ghazali turut mengatakan, sebelum ini pihak kerajaan negeri Johor telah memaklumkan hanya kubur yang tidak mempunyai waris akan dipindahkan terlebih dahulu.

Wakil kerajaan negeri dan ketua kampung juga telah mengadakan perjumpaan bersama penduduk dan mengadakan kenduri tahlil sebelum proses pemindahan dilakukan. Di dalam perjumpaan tersebut para penduduk telah diberikan borang bagi memaklumkan dan mengenal pasti semua kubur waris yang terlibat.

“Ia dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan, proses demi proses dilakukan bagi memastikan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan. Pihak kontraktor hanya melakukan proses pemindahan terhadap kubur yang tidak mempunyai waris berdasarkan perjumpaan dan borang yang diedarkan sebelum ini.

“Ia adalah merupakan isu yang sensitif bagi orang Islam dan Melayu. Maka sudah pasti pihak kerajaan akan memastikan ia tidak menimbulkan perasaan kurang senang penduduk kampung” katanya lagi.

Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Pasir Gogok, Abdul Jalil Kahar berkata Yahaya adalah merupakan salah seorang yang sering menimbulkan masalah ekoran masalah mental yang dihadapinya.

“Orang kampung semua tahu, dia mempunyai masalah mental dan pernah beberapa kali mendapat rawatan di Hospital Permai Johor Bahru, Tampoi. Jadi tidak mustahil kekecohan belaku” katanya.

Jalil yang merupakan salah seorang waris penduduk dari Kampung Jawa turut mengatakan pernah berlaku satu insiden, bila mana Yahaya dilaporkan telah menyerang salah seorang guru penolong kanan di Sekolah Kebangsaan Adela suatu ketika dahulu.

“Kerana salah faham, dia (Yahaya) telah bertindak merentangkan tali pancing bersama mata kail di pintu pagar sekolah bagi memastikan guru tersebut tidak dapat masuk” katanya.

Oleh yang demikian, menurut Jalil lagi mungkin disebabkan faktor kesihatan itu, Yahaya telah digunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan bagi memastikan projek pembangunan ini dibatalkan. Beliau turut menyeru agar media-media pembangkang untuk lebih bertanggungjawab dalam melaporkan sebarang isu.

“Janganlah kerana ingin membantu pakatan pembangkang dan mencari simpati rakyat, mereka melaporkan berita-berita yang berbaur provokasi dan mencetus sentimen kebencian” tegasnya mengakhiri perbualan pada petang itu.

Leave a Reply