Kalimah Allah : PAS Pasti Akan Akur Dengan Tokong Lim

    DAP sekali lagi memainkan isu kalimah ‘Allah’ untuk digunakan di dalam kitab Injil Kristian.   Isu hampir sama pernah menjadi hangat ketika Pilihanraya Sarawak di mana PAS bersetuju untuk membenarkan Injil dicetak dalam Bahasa Melayu.  Isu ini dikatakan sama kerana kedua-duanya bertujuan untuk menyebar Kristian di kalangan orang-orang Melayu Islam.

    Memandangkan PAS telah pun bersetuju dengan Injil berbahasa Melayu, maka kita tidak hairan jika PAS juga akan akhirnya bersetuju dengan DAP agar kalimah Allah digunakan oleh Kristian mahupun agama lain bagi memastikan Tokong mereka iaitu Lim Guan Eng gembira.  Walaubagaimanapun, seperti biasa, sebelum bersetuju, PAS akan terlebih dahulu bersandiwara dengan berpura-pura menentangnya.

    Sandiwara menentang cadangan DAP ini penting bagi membeli masa sebelum pilihanraya bagi melenyapkan isu Amanat Hadi, Tanah Kelantan, Balak Kedah, Air Selangor dan lain-lain lagi yang amat menyesakkan dada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

    Namun, sandiwara yang pengakhirannya sudah dijangka amatlah membosankan dan seeloknya, PAS dan DAP hentikanlah saja lakonan mereka.

    Ini kerana semua orang sudah sedia maklum bahawa di akhir sandiwara ini, PAS tetap akan akur kepada kehendak Tokong Lim DAP.   Lagipun, kenapa pula kali ini PAS ingin menentang penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Injil sedangkan Presiden PAS sendiri pernah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 5 Januari 2010, yang membenarkannya.

    Kenyataan ini boleh dilayari di laman rasmi PAS seperti di bawah:

    http://pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2603:kenyataan-rasmi-presiden-pas-mengenai-isu-kalimah-allah-&catid=20:kenyataan-rasmi&Itemid=99

    Antara petikan kenyataan rasmi Presiden PAS tersebut ialah:

    Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

    Tetapi, hari ini apabila Tokong Lim membangkitkan isu ini sekali lagi dalam perutusan Krismasnya, beliau ditempelak pula oleh Ahli Majlis Syura Ulama PAS yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi, sebagai mengelirukan umat Islam di negara ini.   Katanya, “PAS mengambil pendirian seperti diputuskan Majlis Syura parti sebelum ini, tidak bersetuju dengan desakan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.”

    Apa ceritanya ini?  Apakah Majlis Syura PAS tidak sependapat dengan Presiden PAS?

    Jika benar, nampaknya Presiden PAS mungkin bersendirian dalam menyokong Tokong Lim kerana dalam satu laporan di Harakah (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_ content&task=view&id=019648&Itemid=96), Nik Aziz juga telah menafikan yang beliau menyokong penggunaan nama Allah oleh bukan Islam itu sepertimana yang dilaporkan oleh media perdana.  Antara petikan kenyataan di Harakah yang dibuat oleh Setiausaha Politik beliau, Anual Bakri Harun adalah seperti berikut:

    “Wartawan silap memahami apa yang disebut Menteri Besar (Nik Aziz) kerana perkataan Allah hanya boleh digunakan bagi mereka yang telah menerima Islam.  Bagi memahami konteks yang disebut Menteri Besar dengan lebih jelas kita kena memahami maksud surah Al Ikhlas iaitu Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa, Allah yang dituju (meminta hajat). Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya.  Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya,” kata beliau di sini.”

    Namun, carian seterusnya menemui yang sebaliknya di mana pada 21 Januari 2010, Nik Aziz pernah membuat kenyataan seperti berikut yang disiarkan oleh Harakah juga:

    KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tiada halangan bagi masyarakat bukan Islam negeri itu menggunakan kalimah ‘Allah’, baik dalam pertuturan maupun dalam buku-buku agama mereka.

    Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengikut jejak negeri-negeri lain melarang kalimah ‘Allah’ digunakan orang bukan Islam.  “Keputusan ini diambil memandangkan keadaan di negeri ini memperlihatkan keharmonian antara kaum yang terjalin erat”.

    Nik Aziz kemudian menjelaskan bahawa beliau bermaksud yang beliau hanya bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selagi tidak membawa kemudaratan kepada Islam, serta keadaan di Kelantan yang harmoni telah membolehkan ianya dibenarkan.

    Untuk Nik Aziz, Hadi Awang, Majlis Syura PAS dan orang-orang PAS keseluruhannya, penulis ingin berpesan agar hentikanlah memberi alasan dan memutar-belit kenyataan sendiri kerana ia tidak membawa apa-apa makna selain menghabiskan air liur sahaja.  Ini kerana semua orang sedia maklum yang PAS tetap akan akur kepada ‘ajaran Tokong Lim’ sahaja.

    Tidak perlu menafikan perkara ini kerana buktinya sudah terlalu banyak, iaitu kes pusat sembelihan di Kedah, kes arak di Selangor, kes judi di Kelantan, kes Injil dalam Bahasa Melayu, kes Kelab Malam Voyage di Selangor, kes penutupan pusat hiburan di bulan puasa di Kedah, kes Salon di Kelantan dan yang paling dahsyat ialah kes murtad di Selangor di mana kesemuanya menyaksikan PAS sujud kepada kemahuan dan arahan Tokong DAP.

    Justeru, apa bezanya dengan kes kalimah Allah ini?  Presiden PAS sudah pun membuat kenyataan rasmi sejak awal lagi yang beliau tiada halangan bagi agama Kristian menggunakan nama Allah dalam bahan keagamaan mereka.   Jika Presiden sendiri sudah membuat kenyataan rasmi, kenapa masih perlu bersandiwara?  Tiada apa-apa yang perlu dikelirukan atau didebatkan lagi mengenai pendirian PAS dalam isu ini kerana pendirian PAS adalah tertakluk kepada pendirian DAP.

    Satu-satunya perkara yang mugnkin mengelirukan di sini ialah dalam memahami motif atau signifikannya bagi Tokong Lim atau DAP untuk memperjuangkan penggunaan kalimah Allah dalam bahan keagamaan Kristian.  Ramai yang hairan tentang kenapa nama Allah perlu dijadikan isu?  Kenapa nama Allah juga yang diinginkan mereka?  Kenapa bukan nama lain?  Kenapa sekarang?  Kenapa?

    Apakah tanpa penggunaan nama Allah, maka ajaran Kristian akan terjejas?   Selama ini apakah nama yang digunakan oleh orang-orang Kristian di Malaysia untuk merujuk kepada Tuhan yang berkenaan?   Apakah Tokong Lim  boleh memberi jawapannya? Atau apakah Nik Aziz dan Hadi Awang ingin menjawab bagi pihak Tokong Lim?

    Artikel disiar pada 29/12/2012 - 12:03 pm oleh EDITOR

    Leave a Reply

    facebooktwitteryoutube

    | BERITA AM | SUKAN | KOLUMNIS | JENAYAH | SUARA ANAK MUDA | POLITIK | HIBURAN | GAJET |
    HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013-2014 SUARA GENERASI BARU
    ADMINISTRATOR | HUBUNGI KAMI