Program Jom Shift Bina Sahsiah Diri Anak Muda

Editor: 0a60a4xx | Diterbitkan pada: 29 November 2012
Kategori: BERITA SGB | Add Comment »



KUCHING — Pada 25 hingga 27 November lalu, sekumpulan anak muda yang berada dibawah pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menjalani satu program motivasi khas yang dinamakan Jom Shift: Esok Bagimu.

Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah (JKKD) Bahagian Kuching yang diadakan di Sinar Serapi Eco Theme Park itu merupakan program yang bertujuan membina sahsiah diri dalam kalangan peserta dan mewujudkan keyakinan bahawa mereka juga mampu menjadi manusia yang berguna pada masa datang.

Dengan bertemakan transformasikan diri, pelbagai slot serta aktiviti dijalankan, yang merangkumi kaedah menangani kemarahan dan kemampuan untuk mengembangkan kebolehan dan kemahiran diri.

Para peserta juga dibawa untuk bermuhasabah dan mengenali diri lebih dalam serta belajar mengawal emosi, tingkah laku dan juga cara untuk mengurus perbelanjaan oleh pegawai-pegawai psikologi  dari Taman Seri Puteri (TSP) Kuching.

Pada masa yang sama, peserta-peserta turut mendengar ceramah tentang peluang-peluang untuk melanjutkan latihan kemahiran daripada Pengarah Kolej Komuniti Santubong, Encik Mad Noh Lajim – terutamanya peluang kedua bagi peserta-peserta yang tercicir dan berminat untuk melanjutkan pelajaran.

Sewaktu sesi penangguhan program semalam, Encik Abu Bakar Bujang selaku wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menyatakan kepuashatian beliau terhadap komitmen para peserta yang menyertai kursus tersebut.

“Mereka mempelajari sesuatu yang baru,semangat kerja berpasukan dan semangat setia kawan.”

Turut hadir ialah Encik Mad Noh Lajim, Pengarah Kolej Komuniti Santubong, dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Kuching (JKKD) En Rudi Affendi Khalik dan Pengerusi Pengelola Tuan Haji Rosdi Hamid.

Program serupa bagi siri yang  kedua dijangka berlangsung pertengahan Disember ini.

Aktiviti-aktiviti sekitar program Jom Shift.

Leave a Reply